APAKAH ITU TAKAFUL?

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Sebelum ini saya telah berkongsi tentang apakah itu Unit Amanah? Saya juga telah berkongsi artikel dari laman sesawang FIMM mengenai “Tabung Unit Amanah sebagai pelaburan masa depan anda?” dan “Mengumpulkan kekayaan dengan Unit Amanah dan PRS?”. Kali ini saya sekadar hendak berkongsi tentang apakah itu takaful? Semua manusia tidak kira agama atau pun pangkat akan berusaha mengelakkan diri dan keluarga daripada mengalami kerugian, kesusahan dan juga kemalangan. Menyedari perlindungan adalah satu keperluan, ia tidak boleh dipandang ringan oleh setiap anggota masyarakat. Bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya musibah atau tragedi, maka salah satu bentuk perlindungan yang boleh disertai terutamanya oleh umat Islam pada masa kini ialah melalui perlindungan takaful.

APAKAH ITU TAKAFUL

Apakah itu takaful?

Menurut Akta Takaful 1984, takaful didefinisikan sebagai satu skim yang berasaskan persaudaraan, perpaduan dan bantuan bersama yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan kepada peserta-peserta jika diperlukan di mana peserta-peserta sama-sama bersetuju untuk member sumbangan bagi maksud itu.

Kata dasar bagi perkataan takaful ialah kafala yang bererti untuk menjamin, menjaga atau memelihara. Oleh kerana takaful merupakan kata nama yang berasal daripada kata kerja takafala, maka ianya member erti saling menjamin, saling menjaga dan saling memelihara. Di dalam al-Quran terdapat perkataan-perkataan kafala dan juga yakfulu yang member makna memelihara atau menjaga.

Sebagaimana firman Allah S.W.T:

“Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira” Surah Al-Imran (3): 37

Konsep Takaful

Pada asasnya, sistem takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan pesertanya. Ia bertujuan menggalakkan sifat tolong-menolong dan perpaduan di kalangan para peserta selari dengan konsep ta’awun (saling bekerjasama).

Melalui takaful akan dapat diwujudkan suatu perhubungan yang erat mengikut amalan dan peraturan Islam di antara peserta-peserta yang berpakat dan bersetuju untuk sama-sama menanggung kerugian atau kehilangan. Berpandukan pada semangat perpaduan ini, maka dapat disusun suatu sistem amali yang memetingkan prinsip-prinsip saling bertanggungjawab, saling bekerjasama atau bantu-membantu dan saling lindung-melindungi antara satu sama lain.

Dalam erti kata lain, ia merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama bagi membantu mereka yang memerlukan. Islam amat menggalakkan sifat tolong-menolong atau menyediakan bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah. Agama Islam juga menuntut supaya umatnya bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik.

Asas falsafah ini adalah berpandukan kepada beberapa hadith Rasulullah S.A.W. yang antaranya:

Dalil Kerjasama:

“Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama lain”. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud”.

Dalil Tanggungjawab

“Ibarat hubungan dan perasaan orang-orang beriman sesame mereka adalah seperti jasad, apabila salah satu daripadanya ditimpa kesusahan, maka seluruh anggota yang lain juga akan merasainya”. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim”.

Dalil Saling Melindungi

“Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa akan masuk Syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan.” Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim”.

Berdasarkan hadith-hadith di atas juga, para ilmuan Islam memutuskan bahawa usaha bersepadu perlu wujud untuk melaksanakan konsep takaful sebagai kaedah terbaik memenuhi tuntutan ini.

Takaful yang bermaksud saling menjamin, berasal dari perkataan Arab – kafala. Konsep takaful bertujuan mengalakkan tolong menolong dan perpaduan di kalangan para peserta selari dengan konsep ta’awun. Dalam Islam, menolong atau menyediakan bantuan amatlah digalakkan.

Dalam perniagaan takaful, pemahaman dari maksud ini merupakan satu agenda penting. Ia diterapkan kepada semua peserta yang mengambil perlindungan takaful untuk berniat ikhlas bagi saling jamin-menjamin di kalangan mereka ketika ditimpa musibah. Secara amnya, objektif dalam industri takaful sebenarnya mempunyai persamaan dengan industri insurans konvensional. Kedua-duanya merupakan instrumen untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah. Secara jelasnya, kedua-dua instrumen ini merupakan satu cara yang moden untuk memindahkan risiko yang berlaku dan sudah menjadi kebiasaan, sesuatu ganjaran akan diberi kepada pihak yang sanggup menerima pemindahan risiko ini.

Perbezaan takaful & insurans konvensional?

Objektif insurans dapatlah diungkapkan sebagai golongan ramai yang bernasib baik membantu golongan yang tidak bernasib baik. Sememangnya objektif tersebut adalah diiktiraf oleh Islam. Al-Quran dalam surah al-Maaidah, ayat 2, secara terangnya turut menyatakan galakan oleh Allah kepada manusia untuk mengamalkan sikap tolong-menolong, bermaksud:

“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”.

Apa yang menjadi persoalannya ialah apakah ciri utama yang membezakan takaful dan insurans konvensional?

Tanggal 15 Jun 1972 merupakan tarikh penting bermulanya pengumuman terhadap penerokaan dan kajian yang dibuat ke atas kontrak insurans konvensional. Pada tarikh tersebut, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam persidangan yang kelimanya telah memutuskan iaitu insurans nyawa sebagaimana yang dijalankan oleh syarikat-syarikat insurans yang ada pada masa ini adalah suatu muamalah yang fasid (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba.

TAKAFUL

INSURANS KONVENSIONAL

Pematuhan kepada hukum syarak Tidak mematuhi hukum syarak
Kontrak urusniaga adalah berdasarkan akad tabarru’, mudharabah dan wakalah Kontrak urusniaga adalah berdasarkan akad jual beli
Pengendali takaful merupakan pengurus tabung dan tidak member jaminan kepada peserta Syarikat insurans merupakan pemilik tabung dan menjadi penjamin kepada peserta
Peserta menjamin antara satu sama lain melalui semangat kerjasama dan tabbaru’ Syarikat menjamin peserta berdasarkan kepada faktor-faktor komersial
Bebas daripada riba, gharar dan maisir Banyak unsur-unsur riba, gharar dan maisir
Adanya Majlis Pengawasan Syariah Tiada Majlis Pengawasan Syariah
Keuntungan akan dikongsi bersama di antara pengendali takaful dan peserta berdasarkan kepada Mudharabah atau Yuran Prestasi Pelaburan Keuntungan diagih mengikut keputusan syarikat

Gharar

Maksud al-Gharar ialah “ketidakpastian”. Maksud ketidakpastian dalam urus niaga muamalah ialah:

“Terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain”.

Menurut Ibn Rushd maksud al-Gharar ialah, “Kurangnya maklumat tentang keadaan barang (objek), wujud keraguan pada kewujudkan barang, kuantiti dan maklumat yang lengkap berhubung dengan harga. Ia turut berkait dengan masa untuk diserahkan barang terutamanya ketika wang sudah dibayar tetapi masa untuk diserahkan barang tidak diketahui”.

Ibn Taimiyah pula menyatakan al-Gharar ialah, “Apabila satu pihak mengambil haknya dan satu pihak lagi tidak menerima apa yang sepatutnya dia dapat”.

Al-Gharar ditakrifkan dalam Kitab Qalyubi wa Umairah menyatakan Mazhab Imam Al-Shafie mendefinasikan gharar sebagai “Satu (aqad) yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti”.

Prof Madya Dr. Saiful Azhar Rosly menyatakan, “Gharar yang dimaksudkan dalam perbahasan sah atau tidak sesuatu kontrak itu merujuk kepada risiko dan ketidakpastian yang berpunca daripada perbuatan manipulasi manusia mengakibatkan kemudaratan ke atas pihak yang dizalimi. Umpamanya dalam jual beli kereta terpakai, pembeli tidak diberitahu tentang keadaan sebenar kenderan tersebut. Setelah selesai perjanjian jual beli, gharar dalam objek jual beli itu boleh dijadikan alasan membatalkan kontrak. Ini kerana gharar itu terhasil daripada perbuatan zalim yang disengajakan”.

Kontrak Insurans mengandungi unsur gharar kerana apabila tidak berlaku tuntutan, satu pihak (syarikat insurans) akan mendapat semua keuntungan (premium) sementara satu pihak lagi (peserta) tidak mendapat sebarang keuntungan. Keadaan ini bertepatan dengan definisi gharar oleh Ibn Taimiyah yang menerangkan gharar dalam kontrak berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerimanya.

Menurut laporan Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia, adalah jelas di dalam kontrak insurans yang diamalkan sekarang mengandungi elemen gharar kerana Ma’kud Alaih (barang) tidak jelas, dan ia berkait dengan:-

  • Tidak diketahui dengan jelas samada dapat atau tidak bayaran yang dijanjikan.
  • Tidak diketahui kadar bayarannya.
  • Tidak diketahui bila masanya.

Badan Petugas menyatakan kewujudan gharar dalam kontrak insurans kerana Kontrak Insurans adalah di atas “Dasar Jual Beli”. Dalam Islam, jika sesuatu itu terlibat dengan muamalah jual beli maka ia mesti memenuhi rukun dan syarat jual beli. Antara rukunnya ialah:

1.    Penjual dan Pembeli

2.    Aqad (Ijab dan Qabul)

3.    Barang (Ma’kud Alaih/Subject Matter)

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kewujudan ketidakpastian ‘barang’ dalam kontrak insurans kerana syarat barang yang telah ditetapkan oleh Syarak tidak dapat dipenuhi. Bagi Islam, syarat-syarat bagi setiap rukun-rukun tersebut adalah penting dan mesti dipenuhi. Di antara syarat barang yang mesti dipenuhi ialah:

1.    Barang tersebut dapat diserahkan dalam majlis akad.

2.    Masa penyerahannya telah ditetapkan.

3.    Barang tersebut telah ditentukan jenis dan kuantitinya.

4.    Tempat untuk diserahkan barang telah ditentukan.

5.    Bukan barang yang mengandungi unsur-unsur najis dan dilarang Syara’.

Seperti juga dengan pasangan yang ingin berkahwin. Mereka mestilah memenuhi rukun kahwin seperti adanya pengantin lelaki, perempuan, wali, 2 saksi lelaki yang adil dan ijab qabul. Tetapi jika salah satu rukun tersebut tidak dapat dipenuhi maka perkahwinan itu akan menjadi tidak sah. Namun ada pendapat yang menyatakan bahawa ‘barang’ dalam kontrak insurans adalah jelas kerana ia telah tercatat dalam kontrak dan akan diserahkan apabila terjadinya kemalangan. Lebih mengukuhkan lagi hujah tersebut ialah apabila mahkamah sendiri akan mendengar kes seumpama itu.

Kita mengakui pendapat ini dan kerana itulah dinyatakan perbezaan sebenar antara Takaful dan Insurans ialah dari segi “Keyakinan (Belief)”. Cuba kita perhatikan, apakah bezanya pasangan yang berkahwin dengan pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan kecuali melalui kontrak yang dianggap sah oleh undang-undang sivil? Tentu sekali wujud perbezaan walaupun kontrak yang dibuat oleh pasangan tersebut adalah lengkap dengan segala hak antara kedua pasangan telah termaktub dan diditilkan dalam kontraknya, namun bagi Islam ia tetap tidak sah kerana berlawanan dengan Syarak.

Maisir/Judi

Para ulama’ menyatakan Maisir dan Gharar mempunyai kaitan yang amat rapat. Ini bererti jika sesuatu transaksi itu mengandungi unsur gharar maka dengan sendirinya unsur judi turut ada. Kaitan antara keduanya adalah terlalu rapat dan saling berkait.

Maisir (Judi) dalam kontrak insurans wujud bilamana:

1.    Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya.

2.    Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku.

3.    Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima.

Riba

Unsur riba terdapat dalam urusniaga Pinjaman dari Polisi yang ditawarkan kepada peserta dalam produk Insurans Nyawa. Dalam sistem kemudahan pinjaman ini, Syarikat insurans akan mengenakan bayaran faedah kepada peserta yang membuat pinjaman. Jelas sekali bahawa bayaran faedah tersebut merupakan riba yang dilarang oleh Islam.

Elemen riba turut wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan insurans, kebanyakannya dilaburkan dalam instrumen kewangan seperti bon dan juga saham yang kerap melibatkan syarikat-syarikat yang berurusniaga dengan kegiatan sistem perbankan konvensional.

Penyelesaian

Para ulamak telah sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti kepada Insurans Konvensional. Dasar Tabarru’at menjadi teras utama yang membina paksi Takaful. Penggunaan dasar ini turut menyelamatkan pengurusan Takaful untuk seiring dengan keredhaan Syarak dalam soal Muamalah Islam. Dengan penggunaan Tabarru’at ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur gharar dan maisir.

Takrif Tabarru’at

Tabarru’at merupakan perkataan Arab yang bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks perniagaan Takaful, setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang ikhlas untuk menderma bagi membantu para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah. Dalam erti kata yang lebih tepat ialah, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka di atas niat yang sama.

Penegasan ini dapat dilihat dari fatwa oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang menegaskan insurans Islam boleh diadakan dengan syarat setiap peserta menderma di dalam satu tabung untuk membantu sesama mereka.

Hari ini, kebanyakan syarikat yang menjalankan Takaful adalah terlibat dengan dunia perniagaan. Oleh itu Tabarru’at yang bersyarat, diperkenalkan di mana setiap peserta yang ingin menyertai takaful mestilah menderma sesuai dengan risiko yang dibawanya. Syarikat terpaksa menetapkan kadar Tabarru’at kerana ingin memastikan Tabung Tabarru’at yang disertai oleh semua peserta tidak terjejas bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Justeru itu, jika seseorang peserta membawa risiko yang besar maka kadar tabarru’at yang mesti disumbangkan mestilah sepadan dengan risiko tersebut.

Terdapat juga sesetengah pendapat yang merasakan penggunaan istilah Tabarru’at adalah tidak tepat kerana amalannya adalah berbeza dengan maksudnya yang bererti peserta tidak boleh disyaratkan jumlah pembayaran kerana ia adalah ikhlas semata-mata. Namun dengan operasi dan mekanisme yang digunakan dalam industri Takaful, diharapkan ia tidaklah dijadikan isu yang besar.

Penggunaan Tabarru’at yang menjadi dasar Takaful telah berjaya melahirkan satu Insurans Islam yang tidak bercanggah dengan Syarak. Unsur-unsur Gharar dan Maisir telah dapat dihapuskan dengan kewujudan dasar tersebut.

Sumber: Wikipedia

P/S: Asal bukan Insurans Konvensional! Adakah anda telah merancang perlindungan Takaful untuk diri sendiri? Pasangan? Anak-anak? Keluarga? Berminat?

Untuk keterangan lanjut & temujanji, sila hubungi:

Aizuddin Azmi

Perunding Unit Amanah

Single License Investment

Emel: deenazmee@gmail.com

H/P: 019-548 1304

Alamat: No. 29A (Ground Floor), Lebuh Pantai 10300 Pulau Pinang

Sekian, Wassalam

Advertisements

About aizuddinazmi

Aizuddin Azmi Perunding Unit Amanah Single License Investment Emel: deenazmee@gmail.com H/P: 019-548 1304 Alamat: No. 29A (Ground Floor), Lebuh Pantai 10300 Pulau Pinang
This entry was posted in Informasi, Kewangan, Takaful. Bookmark the permalink.

3 Responses to APAKAH ITU TAKAFUL?

  1. Pingback: SENARAI SYARIKAT PENGENDALI TAKAFUL YANG DILULUSKAN OLEH BANK NEGARA MALAYSIA? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ISLAM

  2. Pingback: APAKAH HUKUM MEMPROMOSIKAN PRODUK INSURANS KONVENSIONAL MENURUT PERSPEKTIF SYARIAH? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ISLAM

  3. Pingback: APAKAH STATUS PAMPASAN POLISI INSURANS KONVENSIONAL SELEPAS KEMATIAN PEMBELI POLISI? | AIZUDDIN AZMI – PERUNDING KEWANGAN ISLAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s